Advertisement

Friday 23 March 2012

Laporan Akhbar | Mengkaji Potensi Pulau Sialu

SIFE UniKL MITEC kaji potensi Pulau Sialu

PULAU Sialu dengan mercu tanda rumah api berdekatan Minyak Beku berpotensi dibangunkansebagai lokasi pelancongan di Batu Pahat, Johor. - utusan/HAMDAN TAWADI

BATU PAHAT 21 Feb. - Pasukan Students in Free Enterprise Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (SIFE UniKL MITEC) sedang mengkaji untuk membangunkan Pulau Sialu sebagai lokasi pelancongan menarik di daerah ini. Pasukan itu yang terdiri daripada penuntut UniKL Mitec kampus Bandar Seri Alam, Pasir Gudang diselia oleh pensyarah mereka, Jimisiah Jaafar yang bertindak sebagai Penasihat Fakulti.

Jimisiah berkata, pasukan itu berpendapat, Pulau Sialu yang terletak berhampiran Minyak Beku di sini berpotensi menjadi jawapan kepada penantian sekian lama daerah itu yang seolah-olah masih tercari-cari ikon produk pelancongan untuk diketengahkan. Menurutnya, Pulau Sialu sesuai dibangunkan sebagai produk pelancongan berkonsepkan alam sekitar dan ia mampu dimanfaatkan penduduk setempat terutamanya masyarakat Orang Kuala yang pernah menghuni pulau itu suatu ketika dahulu.

"Projek ini masih dalam kajian dan antara cadangan yang diutarakan adalah perkhidmatan sewaan bot milik Orang Kuala untuk bersiar-siar atau memancing. Malah, pulau ini turut dikunjungi hidupan unik iaitu belangkas. "Turut dicadangkan perkhidmatan sesi fotografi di pulau itu mungkin untuk pasangan pengantin baru dan ia juga sesuai untuk perkhemahan atau program motivasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program motivasi kepada penagih dadah yang masih menjalani rawatan terapi dadah gantian methadone anjuran Klinik Kesihatan Parit Raja dengan kerjasama Angkatan Belia Islam (ABIM) di pulau itu baru-baru ini. Program itu turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Sri Gading, Kelab Sahabat Methadone, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UniKL MITEC Pasir Gudang, Pusat Latihan Teknologi Tinggi, masyarakat Orang Kuala dan Pasukan Gerakan Marin.

Sementara itu, ahli pasukan SIFE UniKL MITEC yang juga pencetus idea untuk membangunkan pulau tersebut, Syamsul Amrie Abdul Halim, 25, berkata, pasukannya membawa projek itu untuk dipertandingkan di peringkat SIFE dunia di Washington, Amerika Syarikat, Jun depan. "Kita juga sedang mengkaji untuk memberi peluang kepada golongan penagih dadah yang berhasrat kembali ke pangkal jalan, mungkin aktiviti membersih dan mengindahkan kawasan pulau yang masih banyak sampah-sarap," katanya.

Mengenai SIFE, ia adalah organisasi bukan berasas keuntungan yang bekerjasama dengan pemimpin dalam perniagaan dan pendidikan tinggi untuk menggerakkan penuntut universiti dalam meningkatkan kemahiran bagi menjadi pemimpin perniagaan yang mempunyai kesedaran sosial. Peserta program itu akan menubuhkan pasukan di universiti masing-masing dan mengaplikasikan konsep perniagaan untuk menjalankan projek yang dapat meningkatkan kualiti hidup pihak yang memerlukan.

No comments:

Post a Comment